Thursday, January 20, 2011



Y.A.B Tun Abdul Razak bin Dato Hussein merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Beliau menggantikan Y.T.M Tunku Abdul Rahman dan memimpin Negara dari tahun 1970 hingga 1976. Beliau memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970. Y.A.B. Tun Abdul Razak dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan Pahang pada 11 Mac 1922. Y.A.B. Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jambu Langgar dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1934 dan merupakan seorang pelajar yang cemerlang. Selepas menamatkan pengajian di Kolej Melayu Kuala Kangsar, beliau bertugas dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Pada tahun 1939, beliau diberi biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Pembelajarannya di kolej tersebut tergendala disebabkan tercetusnya Perang Dunia Kedua.
   

Lantaran itu, Y.A.B. Tun Abdul Razak telah menyertai Angkatan 136 (Force 136) yang merupakan gabungan askar yang dilatih oleh Pegawai British untuk mengambil semula Tanah Melayu daripada Jepun. Pada tahun 1947, melalui biasiswa Malayan Union, Y.A.B. Tun Abdul Razak melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang di Britain. Pada tahun 1950, beliau menerima ijazah undang-undangnya daripada Lincoln's Inn di London. Y.A.B. Tun Abdul Razak merupakan ahli Parti Buruh British dan pemimpin pelajar Kesatuan Melayu Great Britain yang terkenal. Beliau juga merupakan salah seorang "King Scolar". Selain itu, beliau telah menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oleh Parti Buruh British untuk memberi kesedaran politik kepada pelajar-pelajar Malaya. Beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Students
Union.

Sekembalinya ke tanahair, Y.A.B. Tun Abdul Razak telah dilantik menggantikan bapanya yang telah meninggal dunia sebagai Orang Kaya Indera Syahbandar dan pada masa yang sama turut menyertai Perkhidmatan Awam Malaya. Y.A.B. Tun Abdul Razak juga mula bergiat aktif dalam bidang politik. Ini terbukti apabila pada tahun 1950, beliau telah dilantik menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Dua tahun kemudian, beliau berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Negeri Pahang dan pada Februari 1955, beliau telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Menteri Pahang. Beliau seterusnya dilantik menjadi Menteri Pendidikan selepas beliau memenangi pilihan raya umum negara yang pertama pada Julai 1955.

   
Y.A.B. Tun Abdul Razak juga merupakan salah seorang ahli rombongan ke London bagi menuntut kemerdekaan daripada British pada Februari 1956. Selepas pilihanraya umum 1959, beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar di samping memikul tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Beliau merupakan seorang pemimpin yang memberi sumbangan besar kepada sistem pendidikan kebangsaan, pembangunan infrastruktur, pertahanan dan sosioekonomi. Maka gelaran "Bapa Pembangunan" yang diberikan kepada beliau amatlah tepat.

Kejayaan yang dicapainya termasuk merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara. Ini dikenali sebagai "Buku Merah" dan dilengkapi pula dengan "Bilik Gerakan" yang mencatit butir-butir rancangan di setiap tempat termasuk segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangan tersebut. Beliau berusaha dengan gigihnya untuk menjamin supaya petani-petani mendapat pendapatan yang setimpal dengan usaha-usaha mereka. Antara lain, ini diuruskan melalui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan Negeri-negeri.

   
Y.A.B. Tun Abdul Razak juga dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab dalam melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. DEB meletakkan dua matlamat asas iaitu untuk mengurangkan dan menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. DEB merupakan projek pembangunan negara yang dijalankan secara berperingkat melalui Rancangan-rancangan Malaysia dari tahun 1970-1990. Beliau turut menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 untuk menggantikan parti memerintah, Parti Perikatan. Beliau telah berjaya menambah bilangan ahli parti dan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional melalui kestabilan politik.

Pada 13 Mei 1969, berlakunya peristiwa 13 Mei dan perlembagaan negara telah digantung, parlimen dibubarkan dan darurat diistiharkan di seluruh negara. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Y.A.B. Tun Abdul Razak telah dilantik oleh Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Pengarah MAGERAN dan di bawah MAGERAN, ketenteraman awam berjaya dipulihkan semula. MAGERAN dibubarkan pada tahun 1971 dengan pemulihan Parlimen.

   
Pelbagai kurniaan dan darjah kebesaran dianugerahkan kepada Y.A.B.. Tun Abdul Razak dalam dan luar Negara. Sebagai tanda inspirasi jasa dan perkhidmatan beliau kepada pembangunan bangsa dan negara beliau diberi gelaran "Bapa Pembanguan Malaysia". Y.A.B. Tun Abdul Razak mengahwini Toh Puan Rahah Tan Sri Hj Mohd Noah pada bulan September 1952 dan mempunyai lima orang anak lelaki. Pada masa itu, beliau masih lagi memegang jawatan sebagai Setiusaha Kerajaan Negeri Pahang. Y.A.B. Tun Abdul Razak meninggal dunia di London pada 14 Januari 1976 ketika berusia 54 tahun. Jenazah beliau telah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bagi seluruh rakyat Malaysia.

   
Bagi memperingati segala jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara, kerajaan telah membina Memorial Tun Abdul Razak yang terletak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Memorial ini pada asalnya merupakan bekas kediaman rasmi beliau dan keluarga semasa hayatnya. Momorial ini siap dibina pada bulan Oktober 1961 sebagai kediaman rasmi beliau dan kemudiannya diubahsuai menjadi sebuah memorial pada tahun 1994. Memorial ini menempatkan bahan-bahan pameran seperti gambar potret, dokumen-dokumen, buku-buku, bahan-bahan pandang dengar, hadiah-hadiah dan anugerah-anugerah kebesaran dan memorabilia kepunyaan dan mengenai Allahyarham Tun Abdul Razak sejak kecil sehingga akhir hayat beliau. Kenderaan seperti speedboat dan golf cart yang pernah diguna oleh beliau turut dipamerkan di sini. Keseluruhan perabut dan bilik tidur Allahyarham masih lagi dikekalkan untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.

Tun Abdul Razak semasa hayat beliau telah banyak mencurahkan tenaga dan usianya kepada perjuangan menegakkan kedaulatan negara, kesejahteraan rakyat dan keamanan dunia. Jasanya yang tidak ternilai ini diharapkan dapat dicontohi serta diteladani oleh semua pemimpin-pemimpin dan juga seluruh rakyat Malaysia. Penubuhan Memorial Tun Abdul Razak ini dikira sebagai perintis usaha-usaha menghargai dan mengabdikan sumbangan-sumbangan beliau dan juga pembuka jalan kepada kajian lebih mendalam untuk mengenali beliau, pentadbirannya dan pasang surutnya politik.


No comments:

Post a Comment

wibiya widget CHAT BLOGGER